MADRID – Kapten pasukan Real Madrid, Sergio Ramos menyeru agar barisan pemain kembali bangkit daripada kekecewaan dengan menjadikan aksi menentang Sevilla dalam kancah La Liga awal pagi esok sebagai medan ‘lepas geram’,
Sebagai rekod, skuad The Galacticos berdepan kritikan hebat selepas tersingkir daripada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, Khamis lepas apabila mudah ditewaskan Chelsea dengan keputusan agregat 3-1.
Susulan itu, Ramos mahu semua pemain mengambil tanggungjawab dengan segera mengalihkan tumpuan dalam usaha mempertahankan kejuaraan La Liga iaitu meraih tiga mata menentang Sevilla.
“Saya akui seluruh pemain dalam pasukan ini kecewa dengan keputusan lepas. Namun, ia bukanlah pengakhiran dan saya yakin Real memiliki mentaliti juara yang sentiasa bangkit selepas kekalahan.
“Kini, kita masih ada peluang untuk memulihkan prestasi pasukan musim ini kerana perebutan trofi La Liga masih lagi terbuka. Fokus utama sudah tentu untuk mendapatkan kemenangan apabila bertemu dengan Sevilla nanti,” katanya.
Skuad kendalian Zinedine Zidane sedikit tempang apabila beberapa pemain utama seperti Raphael Varane, Dani Carvajal, Lucas Vazquez, Fede Valverde dan Vinicius Junior dilaporkan belum cergas sepenuhnya dan mungkin diketepikan pada aksi saingan di Stadium Alfredo De Stefano awal pagi esok.
Selepas aksi bertemu Sevilla, Real yang mengumpul 74 mata selepas mengharungi 34 perlawanan dijadualkan bersaing dengan Granada, Athletic Bilbao dan Villareal pada baki tiga saingan terakhir bulan ini.
– AGENSI