Memiliki pakej lengkap iaitu kecantikan rupa paras dan cemerlang dalam akademik.
Itulah gambaran pertama mengenai si cantik manis Nur Aisyah Mohd. Zakir yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.
Berusia 22 tahun, gadis yang mesra disapa Aisyah ini masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang kewartawanan, namun pada masa sama menjadi tenaga pengajar di Fly Project Gimnasium sebagai jurulatih spin.
Walaupun sibuk dengan pelajaran, Aisyah bijak membahagikan masa antara pelajaran dan senaman berbasikal yang biasanya dilakukan pada waktu malam.
Aisyah turut aktif menyertai program-program sukarela anjuran badan bukan kerajaan, All Women’s Action Society (AWAM) bagi memperkasa wanita di negara ini.
Ikuti temu bual Kosmo! Ahad bagi mengetahui lebih lanjut mengenai gadis ini.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan mengenai latar belakang Aisyah?
Aisyah: Saya merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik. Semasa di bangku sekolah, saya meminati subjek Sejarah dan Bahasa Inggeris, jadi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya menyambung pengajian dalam Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) sebelum bidang kewartawanan di UiTM Shah Alam.
Sejak bila meminati aktiviti berbasikal?
Saya pergi ke beberapa buah gimnasium di Kuala Lumpur untuk mencuba spin atau indoor cycling. Selepas menyertai kelas pertama, saya terus jatuh cinta dan mahu lebih serius dalam sukan ini. Kini saya bergelar tenaga pengajar di gimnasium tersebut.
Apa tip Aisyah untuk kekal langsing?
Pada mulanya, saya bersenam untuk mengurangkan berat badan kerana beranggapan kurus itu cantik. Selepas menyertai sukan berbasikal, target saya berubah. Saya mahu memiliki badan yang cergas kerana ia membantu dalam banyak aspek khususnya mental. Selain itu makan dan bersenam perlu seimbang.
Siapa pendorong dalam hidup anda?
Sudah tentu ibu bapa saya. Saya mahu menjadi yang terbaik untuk mereka walaupun ada hari-hari yang berasa seperti mahu mengalah.
Apa yang Aisyah ingin capai dalam masa terdekat ini?
Menamatkan pengajian. Jika negara pulih pandemik Covid-19, saya bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di luar negara.
Pernahkah anda diganggu lelaki berhidung belang?
Banyak kali. Saya pernah berdepan dengan mereka ini semasa bekerja dan di stesen minyak. Ada juga yang meninggalkan komen-komen yang tidak sepatutnya akaun di media sosial saya. Nasihat saya, jangan berdiam diri. Sekiranya anda menjadi mangsa beritahu orang terdekat.
Bagaimana pula dengan ciri-ciri lelaki idaman Aisyah?
Saya menyukai lelaki yang matang, bertolak ansur, sedia menerima kritikan. Jika hot itu satu bonus.
Sudah mempunyai kekasih hati?
Malu pula saya. Saya ada teman lelaki dan sudah tiga tahun kami bercinta. Yang penting dia tidak pernah ragu dengan kemampuan saya untuk capai apa yang dimahukan.