KUALA LUMPUR – Suasana gerai jualan dan bazar di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini disifatkan kurang meriah meskipun Aidilfitri bakal disambut pada minggu depan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjauan Kosmo! Ahad di lokasi bazar Aidilfitri dan pasar malam sekitar Jalan TAR semalam mendapati suasananya sedikit tenang berbanding beberapa minggu lalu sebelum pelaksanaan PKP.
Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Jalan TAR, Azkhalim Suradi berkata, jumlah kehadiran pengunjung ke pasar malam Jalan TAR dilaporkan berkurang hampir 60 peratus selepas pelaksanaan PKP.
“Sebelum PKP, jumlah pengunjung pada hari Sabtu kira-kira 15,000 orang bermula pukul 12 tengah hari hingga 12 malam, namun ketika ini jumlahnya tidak sampai 5,000 orang sehari.
“Keadaan itu berikutan kami hanya dibenarkan beroperasi hingga 10 malam sahaja berbanding sehingga 2 pagi sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Katanya, faktor kekurangan pengunjung itu antaranya disebabkan langkah prosedur operasi standard (SOP) di mana gerai ditutup awal selain larangan bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.
“Biasanya pengunjung akan datang selepas solat sunat tarawih, namun apabila gerai perlu ditutup awal, mereka mungkin batalkan hasrat ke situ,” jelasnya.
Sementara itu, seorang peniaga rendang dan ketupat, Siti Noreka Mahbob berkata, sambutan pengunjung ke bazar Aidilftri semakin berkurangan selain suasana hambar.
“Sejujurnya, sebagai peniaga kami berasa sangat kecewa kerana mengharapkan hari-hari terakhir untuk meraih keuntungan memandangkan pelanggan akan membeli dengan banyak.
“Namun apabila PKP dilaksanakan, pelanggan tidak boleh datang sekali gus menyebabkan suasana di bazar sedikit suram,” katanya.
Khamis lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Anuar Musa membenarkan bazar Ramadan dan Aidilfitri dengan SOP ketat ketika pelaksanaan PKP.
Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi bermula pukul 3 petang hingga 8 malam dengan pengunjung hanya diberikan masa 45 minit untuk mendapatkan kelengkapan mereka.