KUANTAN – Polis meminta jasa baik penduduk Tanah Putih Baru dekat sini, yang meninggalkan kawasan itu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Rabu lalu, untuk tampil membuat ujian calitan yang dijadualkan Isnin ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ujian calitan itu akan dilakukan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek, dekat sini.
“Bagi penduduk yang meninggalkan kediaman mereka (sebelum PKPD) dan mempunyai gejala (Covid-19), mereka perlu segera ke klinik kesihatan berdekatan bagi menjalani ujian (calitan) dan tidak perlu tunggu esok.
“Perkara ini sangat penting memandangkan Kluster Tanah Putih Baru amat cepat merebak dan setakat semalam, terdapat 57 kes dikesan positif Covid-19 selain dua kes kematian membabitkan warga emas berusia 69 dan 88 tahun,” katanya selepas melakukan pemantauan di taman perumahan berkenaan semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Noor berkata, polis mendapat maklumat terdapat antara 100 hingga 200 penduduk yang keluar dari kawasan itu sebelum PKPD dikuatkuasakan.-K! ONLINE