PADANG RENGAS – Kira-kira 2,000 pelita atau panjut dipasang membentuk replika Masjid Selat Melaka yang dibina di Kampung Ribu dekat sini, semalam.
Replikasi gergasi setinggi sembilan meter yang dibina menggunakan 200 batang buluh dan kayu itu bagi memeriahkan minggu terakhir Ramadan dan malam tujuh likur.
Pengerusi Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu, Amiruddin Mohd. Lazim berkata, pemasangan pelita atau panjut itu merupakan tradisi kampung tersebut setiap kali bulan Ramadan.
Katanya, kemeriahan untuk menyambut Syawal dirasai apabila kawasan sekitar kampung diterangi cahaya lampu pelita yang turut mewujudkan suasana ceria.
“Tahun ini tiada pertandingan kerana kita perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berbanding tahun lalu di mana pertandingan diadakan di rumah masing-masing.
“Pada tahun ini, kita pasang panjut gergasi di kawasan lapang dan orang ramai khususnya penduduk kampung boleh datang untuk memeriahkannya,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, pihaknya mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan sepenuhnya replika gergasi yang bertemakan Masjid Selat Melaka.-K! ONLINE