KUALA LUMPUR – Terpaksa rentas negeri dari Selangor memasuki Kuala Lumpur sebab balik kerja (rumah di Kuala Lumpur).
Itu antara alasan paling kerap diterima petugas sekatan jalan raya (SJR) Kontinjen Kuala Lumpur daripada pengguna jalan raya ketika mereka merentas negeri memasuki Kuala Lumpur sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan di negeri ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, terdapat juga alasan daripada mereka datang ke negeri ini untuk mengambil anak di terminal pengangkutan.
“Berdasarkan lima tinjauan yang saya buat di SJR di seluruh Kuala Lumpur, itulah alasan yang disampaikan petugas SJR kepada saya.
“Namun begitu, saya lihat pegawai bertugas mengambil tindakan berhati-hati dan bertanggungjawab serta membenarkan perjalanan dibuat selepas berpuas hati dengan keterangan yang diberi orang ramai itu,” ujarnya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Bazar Aidilfitri, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini hari ini.
Jelasnya lagi, pihaknya juga tidak berhasrat untuk menambah jumlah SJR sepanjang PKP 3.0 di Kuala Lumpur yang kini dikekalkan sembilan lokasi sahaja. – K! ONLINE