LONDON – Pengendali West Ham United, David Moyes sedang mengintai peluang untuk memecahkan rekod menjadi pengurus pertama membawa kelab itu mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan yang paling tinggi.
Rekod sebelum ini dipegang oleh Slaven Bilic yang membantu West Ham meraih 62 mata sepanjang musim serta menghuni kedudukan ketujuh liga.
Ketika ini, West Ham berjaya mengumpul 58 mata berbaki empat perlawanan selain peluang mereka layak ke saingan Liga Juara-Juara juga masih terbuka menyebabkan Moyes mengakui bahawa beliau mahu cuba untuk melakukan keajaiban itu.
“62 mata adalah yang paling tinggi dicapai kelab ini dan dalam kepala saya ketika ini adalah untuk cuba memintas pencapaian itu.
“Mungkin lebih baik jika kami dapat mencipta rekod baharu, mungkin 63 mata atau lebih besar. Kami akan cuba mencapainya terlebih dahulu dan kemudian kita akan lihat apa yang dapat dilakukan selepas itu,” katanya.
Musim ini menyaksikan Moyes berjaya membentuk West Ham menjadi sebuah pasukan yang mantap apabila berjaya meraih 17 kemenangan dalam aksi liga setakat ini dan ia merupakan pencapaian terbaik pernah mereka capai sepanjang terlibat dalam kempen EPL.
“Sekarang ini, pusat latihan kami seperti tadika, dipenuhi dengan kanak-kanak yang riang tetapi saya gembira melihat emosi para pemain.
“Perkara ini mudah untuk dikatakan tetapi sebenarnya tidak ada formula magis untuk meningkatkan semangat dalam pasukan kecuali dengan mendapatkan kemenangan,” jelasnya. – AGENSI