GUA MUSANG – Lebih 100 kenderaan diarah berpatah balik selepas cuba merentas negeri untuk memasuki Kelantan tanpa membawa sebarang surat kebenaran dan tiada alasan munasabah.
Kesemua kenderaan itu dikesan di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Kampung Tanah Putih di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mereka yang terbabit dipercayai mencuba nasib dengan mengambil kesempatan awal untuk balik kampung bagi menyambut Syawal di kampung.
Katanya, anggota yang bertugas di SJR itu mengesan kenderaan luar yang cuba rentas negeri melalui jalan masuk utama ke negeri ini meningkat sejak pukul 9 pagi semalam.
“Kita menasihatkan agar perantau yang berada di luar Kelantan supaya jangan mencuba nasib balik untuk balik ke kampung.
“Ini adalah menjadi tanggungjawab sosial kita yang berada di luar supaya bersama-sama dengan pihak kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di SJR Kampung Tanah Putih di sini hari ini.
Tambah Choon Foo, kebenaran hanya diberikan kepada individu yang mempunyai pasangan jarak jauh dan melibatkan urusan pekerjaan.-K! ONLINE