KLANG – Polis Klang Selatan menafikan insiden pelanggaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah pusat pemborong di sini berlaku dalam daerahnya.
Ini berdasarkan penularan klip video berdurasi 19 saat yang menunjukkan pusat beli-belah itu dipenuhi dengan pengunjung sehingga tiada pematuhan SOP.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dalam kenyataannya memaklumkan pihak pusat pemborong tersebut iaitu GM Klang juga telah membuat penafian berhubung perkara itu di laman sosial Facebook rasmi mereka.
“Masyarakat atau mana-mana individu dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang bentuk berita yang tidak benar sehingga boleh menimbulkan kegusaran dan suasana yang tidak tenteram kepada masyarakat.
“Sekiranya didapati bersalah, individu tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998,” jelasnya.
Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang berkata, pihak pengurusan memandang serius perkara itu dan sedang mengumpul beberapa maklumat dan bukti mengenai penyebaran berita palsu itu untuk dilaporkan kepada pihak polis dengan kadar segera.
“Bagi mereka yang pernah berkunjung ke GM Klang, sudah pasti mereka tahu tempat dan keadaan tersebut bukanlah di GM Klang.
“Kami meminta orang ramai sentiasa berhati-hati dengan mana-mana berita sebelum menyebarkan tanpa memeriksa kesahihannya terlebih dahulu,” jelasnya. -K! ONLINE