KLANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menahan 24 tan makanan haiwan bernilai RM177,000 di tapak pemeriksaan Gudang CFS, Pelabuhan Barat di sini kelmarin.
Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, penahanan daripada dua kontena dari Turki dan Perancis itu hasil rutin pemeriksaan pihaknya pukul 4 petang dengan mendapati terdapat makanan haiwan untuk kucing dan anjing.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, barang dagangan berkenaan ditahan kerana tidak mematuhi syarat import Maqis sebagaimana yang dinyatakan permit, lesen dan perakuan.
“Nilai keseluruhan makanan haiwan itu berjumlah RM177,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. – K!ONLINE