KUALA NERUS – Seramai 2,073 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) pulang ke rumah masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri secara berperingkat sehingga lusa.
Ketua Penolong Pendaftar Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UniSZA, Mazlan Mohamad, pelajar tersebut pulang dengan menggunakan bas disediakan Unisza, pengangkutan udara, kenderaan sendiri atau dijemput ahli keluarga.
“Pengurusan kepulangan pelajar-pelajar terbabit dengan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu berjalan lancar setakat ini.
“Dalam pada itu, seramai 700 pelajar yang majoritinya daripada Sabah dan Sarawak pula memilih untuk kekal di kolej kediaman masing-masing,” katanya di kampus UniSZA, Gong Badak di sini malam tadi.
Mazlan berkata, 700 pelajar terbabit akan menyambut 1 Syawal dengan program-program yang diatur universiti.- K! ONLINE