KOTA BHARU – Sebanyak 1,060 kenderaan dari beberapa negeri yang cuba masuk ke Kelantan melalui beberapa sekatan jalan raya (SJR) telah diarah berpatah balik selepas mendapati mereka tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, rata-rata daripada mereka turut memberikan alasan tidak munasabah iaitu memaklumkan bahawa mempunyai urusan kecemasan dan kematian, namun tidak meminta surat kebenaran daripada polis.
“Sehingga pagi tadi, jumlah kenderaan yang masuk ke Kelantan dan diarah berpatah dilihat semakin bertambah sekali ganda berbanding malam tadi iaitu hanya sebanyak 500 buah kenderaan.
“Selain itu, polis juga dapati ada pemandu kenderaan yang memalsukan surat bagi tujuan merentas negeri untuk balik beraya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Shafien berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, kebanyakan pengguna jalan cuba memberi alasan bagi mengelakkan daripada mereka diarah berpatah balik.
“Saya menasihatkan orang ramai agar terus berada di rumah masing-masing bagi mengelak penularan wabak Covid-19. Kita bimbang kerana kes di Kelantan semakin meningkat,” ujarnya. – K! ONLINE