PETALING JAYA – Meskipun sudah mempunyai 16 rekod jenayah lampau, namun seorang lelaki warga emas seolah-olah tidak serik apabila dia sekali lagi ditahan pihak berkuasa semalam.
Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam oleh sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika ditahan lelaki terbabit disyaki sedang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di sebuah restoran di Pandan Perdana, Ampang.
“Sebuah telefon bimbit serta wang tunai sebanyak RM60 turut dirampas untuk membantu siasatan. Ujian air kencing telah dibuat dan mendapati suspek negatif untuk semua jenis dadah.
“Siasatan lanjut mendapati, lelaki berkenaan mempunyai 16 rekod lampau antaranya enam rekod jenayah dan masing-masing lima rekod jenayah komersial dan narkotik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-K! ONLINE