Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
TERENGGANU FC (TFC) mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pertemuan dengan Selangor di Stadium MBPJ, Petaling Jaya esok.
Pengendali TFC, Mohd. Nafuzi Zain berkata, Selangor bukan lagi pasukan sama yang telah ditumpaskan 3-1 oleh skuad Sang Penyu pada awal musim ini.
Beliau berkata, berdasarkan pengamatannya, skuad Gergasi Merah merupakan pasukan paling meningkat naik dan dalam prestasi terbaik tanpa kekalahan sejak lima perlawanan lalu.
“Saya khuatir dengan peningkatan prestasi pemain-pemain muda Selangor selain kombinasi persefahaman pasukan mereka turut bertambah mantap.
“Sehubungan itu, saya telah arahkan semua pemain agar sentiasa fokus dalam pertemuan dengan Selangor bagi memastikan misi membawa pulang tiga mata tercapai, sekali gus mengekalkan kedudukan kedua liga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Mohd. Nafuzi berkata, kelibat penjaring terbanyak Selangor, Ifedayo Olesugun yang sudah menunjukkan sentuhan pemusnah berbisa dengan 12 gol setakat ini perlu diawasi benteng pertahanan skuad Sang Penyu.
Sehubungan itu, beliau berharap anak-anak buahnya harus mengulangi rentak positif di awal permainan dengan mendahului seawal mungkin seperti dipamerkan ketika mengalahkan UiTM FC pada Selasa lalu.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Nafuzi memberitahu, persiapan Sang Penyu turut diceriakan dengan kembalinya tonggak pertahanan, Arif Fadzilah Abu Bakar dari penggantungan satu perlawanan.
“Jika dilihat, carta liga sentiasa berubah setiap minggu melibatkan empat pasukan teratas dan ini bagus untuk kerancakan liga tempatan,” tambahnya.