PETALING JAYA – Taktik licik sindiket judi dalam talian menjadikan sebuah premis kediaman di Jalan Kerinci, Kuala Lumpur sebagai pusat operasi kegiatan haram itu berakhir apabila diserbu pihak berkuasa semalam.
Serbuan di kediaman yang terletak di KL Gateway Residence itu bermula kira-kira pukul 10 malam oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dibantu oleh pasukan forensik Bukit Aman dan pakar judi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, hasil serbuan tersebut, pihaknya berjaya menahan 12 individu yang terdiri daripada tujuh lelaki tempatan, tiga wanita tempatan dan dua lelaki warga China.
Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 37 tahun dan mereka mengaku baru dua bulan bekerja di premis itu.
“Hasil siasatan mendapati premis tersebut baru sebulan beroperasi dan dibuka antara pukul 9 pagi hingga 3 pagi dan semua operator ditugaskan untuk mencari pelangan dari negara China melalui aplikasi QQ, WeChat dan Skype.
“Analisa ke atas komputer riba dan telefon bimbit yang dijumpai di dalam premis mendapati terdapat aktiviti yang mengandungi unsur-unsur berkaitan perjudian atas talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Anuar berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian antaranya, 11 unit komputer riba dan 49 buah telefon bimbit pelbagai jenama.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua suspek memperolehi pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 mengikut kepakaran masing-masing.
“Semua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut. Seramai 10 orang suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan dua lagi lelaki warga China di reman di bawah Akta Imigresen Malaysia,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-K! ONLINE