KOTA BHARU – Penduduk di tiga buah kampung di Mukim Bunut Susu di sini yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok dikesan liat untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Husin berkata, sehingga semalam, kira-kira 1,500 penduduk dari ketiga-tiga buah kampung itu sudah menjalani ujian tersebut.
Beliau berkata, bagaimanapun, jumlah itu masih rendah iaitu hanya kira-kira 30 peratus bilangan keseluruhan penduduk di lokasi terlibat iaitu Bechah Palas, Tualang dan Paya Ular.
“JKNK mengambil serius perkara ini dan kita merayu kepada penduduk setempat untuk terus keluar menjalani ujian berkenaan.
“Ujian ini penting dalam usaha mengenalpasti jumlah sebenar penduduk yang disahkan positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Zaini memberitahu, PKDP di tiga lokasi itu mungkin akan dilanjutkan jika tidak mencapai jumlah 100 peratus penduduk yang membuat ujian saringan Covid-19.
Katanya, bantuan anggota pasukan keselamatan akan turut dikerah jika penduduk masih enggan memberikan kerjasama.
Kosmo! Online semalam melaporkan, kerajaan mengenakan PKPD di tiga kampung di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan berkuatkuasa esok sehingga 22 Mei ini.
Sebanyak 120 kes positif Covid-19 telah direkodkan di kampung tersebut melibatkan Kampung Paya Ular (42), Kampung Tualang (26) dan Kampung Bechah Palas (52). – K! ONLINE