LONDON – Tindakan pasukan Red Bull Racing ‘memancing’ beberapa jurutera pasukan Mercedes seakan memberi ancaman kepada juara tujuh kali kategori pengeluar Formula Satu (F1) tersebut dalam perebutan gelaran musim depan.
Bagaimanapun, ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff yang mengakui sudah menjangkakan perkara tersebut akan berlaku, tidak bimbang dengan situasi berkenaan.
Wolff menegaskan pihaknya juga tidak perlu mengambil tindakan drastik untuk menaikkan gaji kru pasukannya semata-mata untuk menghentikan lebih ramai pakar teknikalnya menyertai Red Bull Racing.
“Mereka (Red Bull Racing) juga berpangkalan di United Kingdom, Milton Keynes. Jadi, wajar mereka mencari jurutera terbaik di sini.
“Apa yang saya boleh katakan ketika ini, kami akan kehilangan beberapa perkara dan akan meraihnya kemudian, tetapi pada akhirnya saya percaya dengan falsafah Mercedes kerana kami adalah majikan terbaik.
“Mercedes adalah tempat yang penuh dengan tekanan tinggi tetapi terdapat juga keseronokan bekerja di sini. Kami boleh berbangga dengan itu dan harus bergantung dengan keadaan tersebut.
“Saya tahu apa yang dilakukan Red Bull Racing dan Christian Horner ketika ini, mereka mahu membina struktur pasukan yang terbaik tetapi anda perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk mewujudkan pasukan mantap,” katanya. – AGENSI