RANTAU PANJANG – Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang ketika berenang menyeberangi Sungai Golok di pangkalan haram Parking di sini semalam ditemui lemas hari ini.
Lelaki tanpa identiti pengenalan diri itu ditemui dalam keadaan terapung oleh pasukan bomba pada pukul 8.46 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, mayat mangsa ditemui berhampiran pangkalan haram Derdap kira-kira empat kilometer dari lokasi asal dia dikhuatiri hilang.
Katanya, mayat lelaki itu diserahkan kepada polis pada pukul 10 pagi untuk tindakan lanjut.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas dipercayai ketika sedang berenang menyeberangi Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Parking di sini.
Bagaimanapun, identiti mangsa yang lemas dalam kejadian pada pukul 1 petang itu masih belum dapat dikenal pasti. – K! ONLINE