fbpx

Kumpulan pertama pelajar USIM selamat pulang ke kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 538 orang pelajar USIM memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan universiti.

SEREMBAN – Kumpulan pertama pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berjumlah 181 orang selamat bertolak pulang ke kampung halaman masing-masing di Kelantan dan Terengganu hari ini.

Kesemua mereka dihantar pulang menggunakan tujuh buah bas universiti melalui inisiatif Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bermula 7 Mei hingga 12 Mei 2021.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Jailani memaklumkan, pergerakan pelajar USIM yang mana penghantaran mereka diuruskan oleh pihak universiti akan berjalan selama empat hari mulai hari ini hingga Selasa depan ke 12 buah negeri.

“Kumpulan pelajar ini akan bertolak dari Dewan Tuanku Canselor mengikut jadual masa dan hari bertolak yang telah siap disusun oleh jawatankuasa khas bagi memastikan kelancaran operasi ini. Pada pagi ini kita menghantar kumpulan pertama pulang ke Kelantan dan Terengganu dan Alhamdulillah, proses ini berjalan lancar.

“Pergerakan terakhir adalah pada Selasa hadapan iaitu ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Kenderaan yang membawa pelajar ini akan berhenti di stesen-stesen bas utama yang kita kenalpasti sebelum dijemput oleh ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rushdan, kumpulan pelajar yang tidak pulang menggunakan kenderaan universiti hanya dibenarkan pulang dengan kenderaan sendiri dan dijemput oleh ibu bapa atau penjaga.

“Pergerakan menggunakan kenderaan awam adalah tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

“Semua pelajar ini kita wajibkan mendaftarkan maklumat mereka secara atas talian (online) di capaian khas yang kita sediakan dan turut diberikan Surat Kebenaran Rentas Daerah atau Negeri daripada USIM sebagai rujukan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terlibat dalam program pergerakan pulang ini dengan 538 orang daripadanya memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan universiti.

“Bahagian Hal Ehwal Pelajar menyediakan 18 buah kenderaan universiti iatu bas dan kenderaan pelbagai guna (SUV) untuk menghantar kumpulan pelajar ini secara berfasa ke zon-zon yang telah dikenalpasti,” katanya lagi.

Tambah beliau, pergerakan pelajar ini melibatkan kerjasama padu pelbagai jabatan khususnya Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLMJI) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi memastikan operasi ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP), berjalan lancar serta semua pelajar tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat.

Kata beliau, seramai 66 orang pelajar memilih untuk terus tinggal di kampus semasa cuti Hari Raya Aidilfitri nanti dan pihak universiti melalui PRUPEL dan BHEP akan memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa diberi perhatian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI