BARCELONA – Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton meraih petak pertama buat kali ke-100 selepas mencatatkan ujian masa terpantas pada sesi kelayakan di Grand Prix (GP) Sepanyol semalam.
Jika juara dunia tujuh kali tersebut mengekalkan pemanduan cemerlang esok, Hamilton bakal meraih kemenangan kelima berturut-turut di Sepanyol selepas tiga daripada empat kemenangan terakhirnya terhasil selepas bermula di petak pertama.
Pada sesi kelayakan tersebut, Hamilton merekodkan masa terpantas satu minit 16.741 saat sekali gus memulakan saingan di petak pertama. Pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen tempat kedua dan rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas tempat ketiga terpantas.
“Saya tidak percaya saya berjaya meraih tempat pertama sebanyak 100 kali. Terima kasih kepada semua yang bekerja keras untuk meraih kejayaan seperti ini.
“Esok adalah misi yang berbeza dan saya harap kami mampu melakukan terbaik sekali lagi pada perlumbaan sebenar nanti,” kata Hamilton.
Pasukan Ferrari juga tampil cemerlang menerusi pelumba mudanya, Charles Leclerc apabila mencatat masa empat terpantas selepas hanya dipisahkan 0.036 dengan Bottas yang berada di kedudukan ketiga. – AGENSI