SHAH ALAM – Seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima hadiah hari jadi bermakna apabila dapat pulang beraya bersama keluarga tahun ini.
Muhammad Ammar Haziq Zakaria, 22, antara 352 anak Selangor di enam institut pengajian tinggi (IPT) yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan percuma yang disediakan kerajaan negeri.
“Bila bas mula bergerak pukul 12 tengah hari tadi dari UTHM, saya rasa inilah hadiah hari jadi paling bermakna buat saya tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas tiba di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) hari ini.
Ibunya, Norafida Mohammad yang bekerja di Klinik Kesihatan Metro Prima, Kepong berkata, dia bersama suami, Zakaria Awang yang merupakan pesara tentera bergegas ke Bangunan SUK pada pukul 2.30 petang sebaik tamat bekerja kerana tidak sabar mahu menemui anak keduanya itu.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyambut kepulangan mereka di samping menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa dan penuntut IPT tersebut.
Katanya, sebanyak 18 bas disediakan oleh pihak kerajaan negeri menerusi tajaan anak syarikat dan agensi untuk membawa 352 anak-anak Selangor yang belajar di universiti luar dari Selangor pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
“Usaha ini juga adalah hasil daripada permintaan organisasi dan disuarakan mahasiswa itu sendiri,” katanya.
Enam universiti yang terlibat adalah UTHM Cawangan Parit Raja dan Pagoh, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Universiti Teknikal Melaka (UTEM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Kesemua penuntut IPT itu akan dibawa pulang secara berperingkat bermula hari ini dan esok dengan kawalan ketat prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kesihatan pelajar terjaga melalui pematuhan protokol kesihatan. -K! ONLINE