KOTA BHARU – Kerajaan negeri memutuskan bahawa gerai atau penjaja tepi jalan dan penjaja bergerak di seluruh negeri Kelantan ditutup mulai esok bagi mengelakkan penularan Covid-19 di kawasan tumpuan orang ramai.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Kelantan terpaksa mencari pendekatan segera untuk mengelakkan orang ramai berkumpul di satu-satu tempat yang merupakan penyebab utama penularan Covid-19.
Katanya, antara aktiviti yang dikenal pasti menarik orang ramai berkumpul adalah gerai atau penjaja tepi jalan dan penjaja bergerak dan yang dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Demi menjaga kelangsungan kesihatan masyarakat, pihak berkuasa tempatan akan mengambil langkah agar gerai atau penjaja tepi jalan dan penjaja bergerak ditutup mulai esok.
“Para peniaga dan masyarakat diminta mematuhi arahan ini bagi mengelakkan tindakan diambil di bawah peraturan yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, mereka yang menjalani kuarantin di rumah dan di bawah pengawasan di Kelantan seramai 4,000 orang dengan jumlah kes keseluruhan melebihi 16,000 orang.
Katanya, sehubungan dengan itu, jumlah jangkitan Covid-19 dikhuatiri akan semakin bertambah sekiranya langkah-langkah yang lebih drastik tidak diberikan perhatian memandangkan kepada tahap kadar kebolehjangkitan di Kelantan masih lagi tinggi ketika ini.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Kelantan membuat keputusan membatalkan bazar Ramadan dan bazar Aildilfitri seluruh negeri pada tahun ini hanya dua hari sebelum bulan Ramadan. – K! ONLINE