PEMILIK gerangan suara bernada lembut, mersik dan romantis yang bersiaran menerusi saluran radio Suria FM hampir setiap malam barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi.
Mengendalikan slot Suria Cinta sejak 2006 membuatkan DJ Lin kini berada pada satu fasa dan kelas tersendiri selaku bergelar penyampai radio.
Manakan tidak, pengalaman selama 22 tahun dalam bidang penyampaian radio dan 16 tahun melayarkan bahtera Suria Cinta membuatkan nama DJ Lin kini semakin dikenali segenap lapisan umur.
Pendengarnya bukan sahaja terdiri dalam kalangan muda remaja, malah slot Suria Cinta yang kendaliannya turut mendapat tempat dalam pelbagai peringkat pendengar, termasuk bukan berbangsa Melayu dari dalam dan luar negara.
Penyampaian bersahaja sarat dengan info tentang perhubungan dan cinta disulami variasi lagu tangkap leleh yang disajikan kepada pendengar membuatkan Suria Cinta ampuh di takhta tersendiri.
Bercerita lanjut, pemilik nama sebenar, Roslinda Abdul Majid, 46, bersyukur atas kejayaan yang ditempa Suria FM dan slot Suria Cinta dari masa ke masa.
“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah, Suria FM kini mencatat peningkatan pendengar yang memberangsangkan bawah tangggungjawab saya sebagai Pengurus Besar merangkap Ketua Stesen Radio Suria FM.
“Sasaran saya mahu membawa jenama Suria ke peringkat jauh lebih tinggi selepas ini. Saya mahu jadikan Suria sebagai Top 3 bagi radio berbahasa Melayu paling popular dan usaha tersebut hampir tercapai,” ujarnya sebagai mukadimah bersama HibGlam.
Jelas anak jati kelahiran Larkin Jaya, Johor Bahru itu, Suria FM turut melakar kejayaan tersendiri apabila sudah mempunyai tiga juta pendengar secara keseluruhan.
Berjauhan
Seiring dengan peraturan yang dilaksanakan kerajaan tidak membenarkan rentas negeri, DJ Lin reda dan menerima arahan tersebut sebagai satu perkara positif.
“Masuk tahun ini bermakna sudah dua tahun berturut-turut saya tidak dapat pulang ke kampung di Johor Bahru.
“Tipulah kalau tidak ada perasaan rindu lebih-lebih lagi ibu saya kini tidak begitu sihat dan menjalani rawatan dialisis sejak tiga tahun lalu.
“Tetapi sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita ikut sahajalah peraturan yang digariskan kerajaan. Insya-Allah semuanya akan berakhir dan kembali normal kelak,” tuturnya.
Penyandang trofi Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31) itu akur tidak dapat bersua muka dan menyambut Syawal semeriah dahulu berikutan pandemik yang melanda.
“Dua tahun ini juga saya beraya bersama dua orang anak sahaja.
“Lagi pun teknologi sekarang sudah canggih. Biarpun terpisah beratus dan beribu batu jauhnya, kita tetap boleh bersua menerusi panggilan video,” ujarnya.
Cerita DJ Lin lagi, tahun ini dia akan bercuti selama seminggu dan bertugas semula pada hari raya ketiga.
Bukan kepentingan
Tutup seketika soal karier dan lebaran, ramai maklum dan mungkin ada yang baru tahu bahawa DJ Lin sudah lebih sedekad berstatus ibu tunggal.
Rumah tangganya yang dibina atas ikatan cinta dan kasih sayang dibadai gelora selepas lima tahun mereka bersama.
Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Begitulah pepatah paling cocok buat DJ Lin dalam menempuh episod duka selepas masing-masing membawa haluan dan memilih jalan perpisahan sebagai pendekatan terbaik.
Buat masa ini, dia meletakkan karier dan keluarga sebagai perkara paling utama, selain malas mahu ambil pusing tentang pasangan hidup.
“Jujur saya selesa begini. Saya pun malas nak tambah masalah dan komitmen sedia ada. Tanggungjawab dan kepercayaan yang syarikat berikan perlu dilaksanakan sebaik-baiknya.
“Lagi pun kedua-dua anak, Nureen Aresya, 20, dan Nazren Asyran, 18, tidak pernah memaksa saya mencari pasangan, sekali gus menamatkan zaman janda.
“Tambahan pula, saya bimbang tidak dapat membahagikan masa jika sudah berkahwin memandangkan terlalu sibuk mencari rezeki dan nafkah untuk keluarga.
“Masa saya dengan anak-anak pun tidak banyak dan selalu dihabiskan di pejabat berbanding di rumah. Apatah lagi jika sudah bersuami. Jadi, nanti sajalah.
“Boleh ke si dia menerima wanita berkerjaya seperti saya,” ujarnya.
Akui DJ Lin lagi, dia sudah terlalu selesa menjalani kehidupan tanpa lelaki bergelar suami dan tidak terfikir untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua.
Menutup bicara, DJ Lin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pendengar Suria khususnya peminat setia Suria Cinta atas sokongan tidak berbelah bahagi selain menitipkan salam Aidilfitri buat semua umat Islam tidak kira di mana jua berada.