MANCHESTER – Pemain tengah Manchester City, Fernandinho mengakui sudah tidak sabar untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
The Citizens akan bergelar juara lebih awal sekiranya mereka menewaskan Chelsea pada perlawanan yang berlangsung di Etihad awal pagi esok.
Bagaimanapun, pemain Brazil itu percaya mereka berdepan tugas sukar apabila perlu memastikan kemenangan ketika melayan kunjungan skuad kendalian Thomas Tuchel.
“Liga Perdana adalah saingan domestik paling sukar di Eropah. Ia memerlukan kerja keras selain banyak perlawanan sukar perlu dihadapi, jadi pemain perlu sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Kami akan cuba memenangi setiap perlawanan dan dapatkan tiga mata untuk pasukan. Kami hanya perlukan tiga mata lagi untuk mengesahkan kejuaraan pada musim ini,” kata Fernandinho.
Bekas pemain Shakhtar Donetsk itu juga menggesa rakan sepasukan supaya menjadikan setiap perlawanan seperti perlawanan akhir bagi memastikan mereka tidak terleka.
“Masih ada baki empat perlawanan liga musim ini, jadi saya mahu semua pemain City menganggapnya seperti aksi final kerana mampu membantu kami bermain lebih baik,” ujarnya.
– AGENSI