KUALA NERUS – Prestasi cemerlang bersama Terengganu FC (TFC) memberi keyakinan kepada Faisal Abdul Halim untuk dipanggil ke kem latihan pusat skuad negara pada16 Mei ini.
Pemain sayap berusia 23 tahun yang digelar sebagai Mickey itu menjelaskan peluang mewakili Harimau Malaya sentiasa menjadi sasarannya setiap kali turun beraksi untuk TFC pada saingan Liga Super.
Meskipun menjadi antara tonggak paling konsisten bersama TFC, Faisal mengakui bukan mudah untuk berada dalam perancangan Tan Cheng Hoe menghadapi baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada bulan depan.
“Saya beraksi dalam kesemua 12 perlawanan liga tetapi itu tidak bermakna boleh berasa selesa dan saya mahu meningkatkan lagi prestasi selepas ini.
“Beraksi untuk skuad kebangsaan adalah impian setiap pemain. Jadi saya perlu bermain sehabis baik (bersama TFC) dan insya-Allah peluang itu (menyarung jersi Harimau Malaya) akan datang,” jelasnya yang menjaringkan dua gol setakat ini.
Sebelum ini, Faisal sempat membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Nepal pada 2 Jun 2019.
Pemain lincah itu begitupun sekadar memanaskan bangku simpanan dalam aksi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika mengalahkan Timor Leste seminggu kemudian.
Cheng Hoe dijadualkan mengumpul skuad Harimau Malaya pada 16 Mei ini dan akan menentang Kuwait (23 Mei) disusuli aksi bertemu Bahrain pada 28 Mei.
Aksi persahabatan tersebut sebagai persediaan menghadapi UAE (3 Jun), diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam perebutan pasukan terbaik Kumpulan G.
Juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022. – K! ONLINE