PETALING JAYA – Yayasan Petronas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia menyasarkan seramai 4,500 guru Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi Program Duta Guru menjelang tahun 2030.
Yayasan Petronas menerusi satu kenyataan berkata, program tersebut disasarkan kepada tenaga pengajar yang terlibat dalam bidang STEM di sekolah-sekolah terutamanya membabitkan pelajar yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Setakat ini, kira-kira 200 guru telah terlibat dalam program tersebut sejak ia dilancarkan pada 13 Disember 2019 lalu dan kita menyasarkan seramai 4,500 guru STEM menjelang tahun 2030.
“Program Duta Guru ini juga akan melengkapkan guru dengan pengetahuan, kemahiran serta daya fikir untuk menjadi seseorang pendidik STEM yang berkesan dan berimpak tinggi,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.
Menyedari kepentingan peranan guru dalam membentuk pelapis negara, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Nelly Francis Shariah dan Ketua Pusat STEM Negara, Ihsan Ismail telah mengadakan pertemuan secara dalam talian hari ini bagi membincangkan perkara tersebut.
Katanya, kerjasama antara Yayasan Petronas dan Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Pusat STEM Negara ini mempunyai tiga strategi utama yang akan diterapkan.
“Ia bermula dengan latihan dan bimbingan yang akan melengkapkan guru dengan pengetahuan, kemahiran serta sikap dalam menentukan kemenjadian murid. Seterusnya ialah kandungan yang akan membantu guru menghasilkan bahan sumber pembelajaran berkualiti tinggi.
“Strategi yang terakhir ialah infrastruktur yang akan menyediakan pusat STEM berserta bahan dan peralatan yang bersesuaian dan mencukupi,” jelasnya. – K! ONLINE.