fbpx

K2

Hari Angkasa hargai peneroka angkasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAGARIN diangkat sebagai wira bukan sahaja oleh negaranya, Rusia malahan banyak negara lain turut menghargai kejayaannya itu, selain menerima banyak anugerah.

ENAM dekad lalu, Yuri Alekseyevitch Gagarin berjaya mencipta sejarah dunia selepas beliau menjadi individu pertama menjejakkan kaki ke ruang angkasa pada tanggal 12 April 1961. Merupakan manusia pertama yang berjaya mengelilingi bumi pada usia 27 tahun, lelaki bertubuh kecil ini diangkat sebagai wira dan namanya mula meniti di bibir masyarakat dunia sehingga ke hari ini.

Kejayaan yang dicipta kosmonaut ini menjadi inspirasi kepada individu lain untuk turut meneroka ruang angkasa. Seperti di Malaysia, doktor bedah ortopedik, Sheikh Muszaphar Shukor merupakan angkasawan Malaysia pertama ke angkasa lepas pada 25 September 2007.

Susulan pelbagai sejarah lain dilakar manusia di ruang angkasa sehingga setiap Jumaat minggu pertama pada bulan Mei dipilih sebagai World Space Day bagi menghargai pencapaian individu-individu tersebut.
Begitupun sejarah yang dicipta Gagarin dalam tamadun manusia sebagai individu pertama ke angkasa lepas tetap terpahat dalam ingatan.

Ini kerana ia merupakan permulaan baharu yang mengubah persepsi masyarakat dunia tentang angkasa lepas.

Dia bukan sahaja diberi gelaran Pahlawan Kesatuan Soviet, malahan Yuri’s Night diadakan pada 12 April setiap tahun sebagai memperingati jasanya.

TERESHKOVA mengikut jejak Gagarin dan menjadi wanita pertama di angkasa lepas.

Mengimbau kembali detik-detik yang berlaku 60 tahun lalu, pada waktu itu kapal angkasa Vostok 1 yang dinaiki Gagarin berlepas dari Tapak Pelancaran Angkasa Baikonur di Kazakhstan, yang ketika itu sebahagian daripada Kesatuan Soviet.

Vostok 1 dilancarkan menggunakan roket pendorong Vostok 8K72K dari Baikonur Cosmodrome pada pukul 9 pagi waktu Moscow. Gagarin berjaya mengorbit Bumi sebanyak sekali dalam masa 108 minit bermula dari pelancaran sehingga pendaratan.

Pada ketinggian 7 Kilometer dari aras permukaan Bumi, Gagarin telah menggunakan payung terjun untuk mendarat berhampiran kapsul Vostok 1 di dataran Rusia.

“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada negara yang telah memberi kepercayaan penuh untuk melakukan penerbangan ini.

“Gembira rasanya apabila negara tercinta menempa sejarah dunia menembusi kosmos.

“Sejak kecil lagi saya mahu menjadi juruterbang. Saya memasuki Sekolah Penerbangan Orenburg dan lulus pada tahun 1957 sebelum diberi gelaran Juruterbang Tentera Udara.

“Saya berkhidmat di salah satu cabang Angkatan Bersenjata Soviet. Bagaimanapun atas kemahuan sendiri, saya diterima sebagai calon untuk menjadi kosmonaut Kesatuan Soviet,” katanya dalam satu ucapan khas, empat hari selepas misi tersebut berjaya.

Menceritakan kembali detik-detik bersejarah yang dilakarnya itu, menurut anak kelahiran Klushino, sebuah perkampungan di Rusia ini, sebelum misi tersebut dilakukan, dia sentiasa memastikan dirinya berada dalam keadaan sihat dan yakin mampu melaksanakannya dengan sempurna.

TAPAK Pelancaran Angkasa Baikonur di Kazakhstan yang menjadi saksi Gagarin berjaya menjadi manusia pertama yang mengelilingi angkasa lepas pada April 1961.

Begitupun Gargarin mengakui misi tersebut mungkin tidak akan sempurna tanpa kerjasama daripada rakan seperjuangan seperti saintis, jurutera, juruteknik dan pihak-pihak bertanggungjawab yang lain.

“Semasa penerbangan, saya makan dan minum air seperti biasa, selain mengekalkan hubungan radio berterusan dengan Bumi melalui beberapa saluran dan melalui telefon serta telegraf.

“Saya memerhatikan kawasan sekitar dan mengikuti operasi pemasangan di kapal angkasa. Sepanjang waktu itu juga saya melaporkan ke bumi dan merakam data-data pemerhatian lain di buku log dan pita perakam.

“Keadaan pada waktu itu sungguh luar biasa dan sangat hebat. Walaupun berada di ruang yang lain, namun ia langsung tidak mempengaruhi tahap kesihatan saya.

“Saya bersyukur kerana sepanjang tempoh itu, dapat bekerja secara produktif sesuai dengan program yang ditugaskan untuk penerbangan ini,” jelasnya.

Sebaik perintah untuk mendarat diberikan, kapal angkasa tersebut disesuaikan secara automatik dengan pemasangan brek diaktifkan serta-merta sebelum kelajuan penerbangan mula berkurangan.

“Kapal berjaya mendarat dengan selamat dan saya gembira dapat bertemu semula dengan insan-insan yang ternanti-nantikan kepulangan saya dengan selamat.

“Walaupun pelbagai penghargaan diberikan atas kejayaan ini, namun saya ingin memuji pereka, jurutera dan juruteknik yang terlibat selain seluruh Soviet kerana berjaya mencipta kapal angkasa luar biasa Vostok dengan peralatan dan roket pembawa luar biasa yang menempatkan kapal angkasa besar di orbit,” katanya.

Selain Gagarin, masyarakat dunia turut berbangga dengan kejayaan Valentina Tereshkova yang merupakan angkasawan wanita pertama dunia yang dihantar ke angkasa menerusi misi Vostok 6 pada 16 Jun 1963.

Dilahirkan di Bolshoye Maslennikovo, sebuah perkampungan terletak 300 Kilometer dari Moscow, tempoh keseluruhan Tereshkova berada di angkasa adalah dua hari, 23 jam 12 minit dan mengorbit bumi selama 48 kali di dalam kapsulnya.

BIARPUN dikecam segelintir pihak termasuk NASA, Tito tetap dengan hasratnya dan berjaya menjadi pelancong angkasa lepas pertama di dunia.

Misi angkasawan ini dipaparkan secara langsung di siaran televisyen Soviet dan negara-negara Eropah lain.

Di sebalik keterujaan wanita ini sebagai wanita pertama menembusi ruang angkasa, namun siapa sangka dia berhadapan dengan kesukaran sewaktu melaksanakan misi itu.

Pada waktu itu, terdapat kesilapan pada perisian navigasi kapal angkasa hingga menyebabkan ia tersasar daripada laluan utama dan semakin menjauhi bumi.

Menyedari perkara itu, Tereshkova memaklumkan kepada saintis Soviet di Bumi.

Beliau bernasib baik kerana mereka berjaya menukar arah pergerakan kapal angkasa dan Tereshkova berjaya mendarat dengan selamat di sebuah kawasan terletak di persempadanan Kazakhstan, Mongolia dan China.

Menjadi wanita pertama berada di angkasa menyebabkan dia diberi beberapa pingat penghormatan dan turut dianugerahkan Pingat Emas Keamanan daripada United Nations. Bukan itu sahaja, kisahnya juga turut dimuat dalam buku dan dipamerkan di muzium.

Biarpun tidak lagi terbang ke angkasa, beliau mencurah bakti sebagai tenaga pengajar dan menerima anugerah doktor falsafah dalam sains teknikal.

Tidak hanya diteroka angkasawan, angkasa lepas turut mencipta sejarah apabila menerima kunjungan pelancong pertama selepas seorang jutawan dari Amerika Syarikat, Dennis Tito dibawa ke orbit menaiki kapal angkasa Soyuz Rusia menuju ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.

Menerusi satu projek, Tito diterima oleh Agensi Angkasa Persekutuan Rusia sebagai calon untuk penerbangan ruang angkasa komersial. Begitupun sebelum pelancaran, Tito mendapat kritikan daripada Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).

Daniel Goldin yang pada waktu itu Pentadbir NASA beranggapan, pelancong tidak sesuai ke angkasa lepas.

Bagaimanapun melalui perjanjian dengan syarikat pelancongan angkasa lepas, Space Adventures Ltd., Tito menyertai Soyuz TM-32 pada 28 April 2001. Dia menghabiskan masa selama tujuh hari, 22 jam empat minit di angkasa dengan mengorbit bumi sebanyak 128 kali.

Sepanjang tempoh itu, Tito melakukan beberapa eksperimen saintifik di orbit yang menurutnya berguna untuk syarikat dan perniagaannya.

Membiayai perjalanannya sendiri dengan kos RM82.4 juta (AS$20 juta) pengalaman yang dikutipnya itu lantas menjadikan beliau sebagai manusia pertama yang mendapat gelaran Pelancong Angkasa Lepas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI