KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki mengubahsuai but kereta untuk dijadikan tempat rahsia untuk menyembunyikan dadah ketika ia diseludup ke Lembah Klang, akhirnya terbongkar selepas polis berjaya memberkas mereka, kelmarin.
Kedua-dua suspek yang berusia 57 dan 44 tahun diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melalui dua serbuan berasingan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek pertama diberkas di Taman Taynton, Cheras sekitar pukul 11.30 pagi.
Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek pertama telah membawa kepada penahanan suspek kedua ketika serbuan di rumah teres dua tingkat di Alam Damai, Cheras.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemui dadah jenis methamphetamin seberat 43.9 kilogram (kg) dan ketamin 8.4 kg yang dianggarkan bernilai RM2 juta.
“Beberapa barangan turut dirampas termasuk dua kereta, motosikal, rantai emas, cincin emas dan wang tunai RM3,095,” ujarnya ketika sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Jelasnya, hasil siasatan polis mendapati suspek bertindak mengubah suai but kereta terbabit bagi menyembunyikan dadah agar tidak dapat dihidu pihak berkuasa.
“Kos ubah suai but tersebut dianggarkan berjumlah RM6,000 bagi setiap kereta yang mana terdapat butang kawalan bagi membuka bahagian yang diubah suai itu.
“Semakan mendapati dadah terbabit diseludup dari selatan tanah air menggunakan kedua-dua kenderaan itu sejak tiga bulan lalu,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan mendapati suspek pertama didapati menyewa rumah itu selama enam bulan dengan bayaran RM2,000 sebulan.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamin dan mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Kedua-dua suspek direman bermula semalam sehingga 12 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE