fbpx

Tiada tanda harga kesalahan paling tinggi sepanjang SHMMP 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander ketika melawat gerai jualan barangan basah pada Program Jualan Prihatin Raya di pekarangan KPDNHEP di sini hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Tidak meletakkan tanda harga adalah antara kesalahan tertinggi direkodkan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP 2021) bermula 21 April hingga semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi berkata, sepanjang tempoh itu, 217 kes direkodkan iaitu tiada tanda harga (96 kes), tidak meletakkan tanda harga khas merah jambu (67 kes) dan menjual melebihi harga maksimum (54 kes).

Beliau berkata, kesalahan itu direkodkan selepas pemeriksaan dijalankan di 31,167 premis perniagaan di seluruh negara.

“Kami turut menyita pelbagai barangan runcit bernilai RM22,008 dan mengeluarkan keseluruhan kompaun berjumlah RM31,800 kepada mereka yang melanggar arahan skim berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Jualan Prihatin Raya (JPR) di sini hari ini.

Katanya, Johor merekodkan kesalahan tertinggi dengan 59 kes diikuti Sarawak (34 kes), Terengganu (28 kes), Perak (17 kes), Sabah (16 kes), Kelantan (16 kes), Pulau Pinang (14 kes) dan Kuala Lumpur (13 kes).

Alexander berkata, pihaknya hanya menerima 27 aduan berkaitan kenaikan harga barang dan tiada tanda harga daripada pengguna sepanjang pelaksanaan SHMMP 2021 setakat semalam.

SHMMP 2021 dilaksanakan dengan dua fasa dengan fasa pertama bermula 21 April lalu membabitkan 12 jenis barangan.

Manakala, fasa kedua pula dikuatkuasakan bermula 6 Mei hingga 20 Mei depan dengan memasukkan 20 lagi jenis barangan keperluan harian menjadikan 32 jenis barangan keseluruhannya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI