SEJAK pertandingan Dewi Remaja 2018/2019 melabuhkan tirai, seorang bekas peserta yang bernama Arena Lieya hampir tidak wujud dalam industri.
Terbaharu, pemilik nama penuh atau nama sebenarnya Arena Wan Mun-Yi Iman Wan kembali muncul sebagai salah seorang pelakon dalam drama bersiri terbaharu, Hati Yang Dikhianati yang kini sedang hangat disiarkan menerusi Astro Prima.
Berpeluang bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Zamarul Hisham, Isyariana dan Amar Bahrin, Arena menganggap tawaran tersebut sebagai rezeki yang perlu dikautnya.
Drama
“Saya orang baharu dalam industri, jadi bila dapat tawaran begini, seperti bulan jatuh ke riba.
“Paling teruja sebab dapat bekerjasama dengan Zamarul, Mia Nasir, Isyariana dan Amar. Mereka sangat hebat sepanjang berada di lokasi pengambaran.
“Banyak yang saya belajar daripada mereka, terutama cara untuk menghayati watak dan bermain emosi. Bukan perkara yang mudah tetapi nilainya sangat berharga,” katanya.
Bercerita mengenai wataknya sebagai Baby, Arena memberitahu sedikit sukar untuk menghayati karakter sebagai adik bongsu dalam drama berkenaan.
Lebih menyukarkan, watak Baby menuntut dirinya menjadi seorang gadis yang suka memberontak dan keras kepala.
“Dalam drama tersebut, saya merupakan adik bongsu dariada empat orang adik beradik. Karakter saya tidaklah terlalu manja tetapi lebih kepada suka melawan dan buat kepala sendiri.
“Pada awalnya agak susah hendak menjadi watak Baby kerana realitinya saya seorang kakak sulung kepada dua orang adik. Jadi, transisi sulung kepada bongsu itu kekok sedikit.
“Apa pun syukur pelakon lain banyak mengajar dan membantu saya dan hasilnya, alhamdulillah ramai yang puas hati walaupun masih ada ruang yang perlu ditambah baik,” kongsi kakak kepada Adam iaitu seorang remaja autism yang popular dalam media sosial ketika ini.
Kurang fasih
“Maaf kalau bahasa Melayu saya teruk sikit.”
Itu ayat yang kerap diulangi oleh Arena sebelum memulakan bicara dalam satu sesi fotografi bersama barisan pelakon Hati Yang Dikhianati baru-baru ini.
“Saya dibesarkan dalam keluarga yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama, sebabkan itu kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
“Namun itu bukan alasan untuk saya tidak menambah baik penguasaan bahasa saya. Maafkan jika ada yang kurang selesa saya kurang bertutur dalam bahasa kebangsaan,” ujarnya.
Mengakui pernah dikecam kerana perkara tersebut, Arena memandang kritikan berkenaan dari sudut positif.
“Saya tidak marah jika dikritik sebab sedar kelemahan diri. Cuma beri saya masa. Insya-Allah saya akan perbaiki kekurangan ini,” tutur anak kepada komposer Iman Wan itu berhemah.