LONDON – Pemandu Australia, Daniel Ricciardo berharap dapat terus mempamerkan aksi terbaik selepas mengakui semakin mendapat rentak bersama pasukan baharu, McLaren pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
Berakhir tiga perlumbaan, Ricciardo dilihat semakin serasi ketika memacu jentera Mclaren MCL35M apabila mengutip 16 mata selepas mengakhiri saingan di kedudukan ketujuh di Bahrain dan Itali serta tempat kesembilan di Portugal.
Justeru, bekas pemandu Renault tersebut berharap pasukannya akan terus bekerja keras untuk membolehkannya mendapat kepantasan menjelang saingan Grand Prix (GP) Sepanyol pada hujung minggu ini.
“Selepas tiga perlumbaan, saya akui kali ini lebih sukar daripada apa yang saya jangkakan. Bagaimanapun, selepas perlumbaan di Portugal, banyak kemajuan yang kami capai terutama mengenai kemampuan jentera termasuk data-data baharu.
“Sebab itu, saya mahu memastikan jentera ini lebih laju dan apa yang saya perlukan ketika ini ialah beberapa perubahan perlu dilakukan pada jentera untuk mendorong keyakinan saya pada perlumbaan di Barcelona nanti.
“Saya yakin pasukan akan melakukan terbaik untuk menyediakan jentera yang lebih kompetitif supaya kita mampu memberi tentangan di kelompok hadapan,” kata Ricciardo.
Dalam pada itu, Ricciardo dilihat tidak berdepan masalah untuk bersaing di Litar Catalunya Barcelona tersebut memandangkan pemandu itu pernah menaiki podium tempat ketiga sebanyak dua kali ketika bersama pasukan Red Bull Racing.
“Saya akan lakukan dengan lebih baik di Barcelona nanti. Mungkin ada beberapa perkara yang boleh kita cuba dan saya benar-benar optimis pasukan ini mampu memberi saingan.
“Kelompok 10 terbaik ketika ini adalah satu keputusan positif. Perlumbaan di Barcelona akan menjadi lebih mudah dan mungkin lebih baik daripada perlumbaan di Bahrain kerana saya akan tampil lebih pantas di sana,” ujarnya. – AGENSI