IPOH – Pemeriksaan kadar bayaran tol pengguna lebuh raya merupakan antara pendekatan yang akan digunakan polis bagi mengesan mana-mana kenderaan yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sekiranya traksaksi bayaran tol didapati melebihi jumlah sepatutnya untuk perjalanan di dalam negeri, maka kenderaan tersebut akan diperiksa sebelum dikenakan kompaun.
Katanya, pendekatan terbaharu itu dilakukan untuk memastikan tiada individu cuba merentas negeri tanpa surat kebenaran.
“Kadang-kadang mereka ini pandai, untuk elak dikesan akan masuk tol ini dan keluar tol itu. Sebab itu, kita akan tengok kadar bayaran tol mereka.
“Jika transaksi itu adalah kadar tol dari Jalan Duta, maka kita akan berhentikan kenderaan dan periksa. Sekiranya tiada surat kebenaran, kita akan keluarkan kompaun dan arahkan untuk berpatah balik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan ketat itu bagaimanapun tidak dilakukan ke atas semua kenderaan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Dalam pada itu beliau memberitahu, lebih 3,000 permohonan diterima pihaknya setiap hari daripada orang ramai untuk merentas negeri dengan menggunakan pelbagai alasan.
Namun katanya, tidak semua permohonan itu diterima kerana selepas semakan teliti dilakukan, ia didapati tidak memenuhi syarat rentas negeri yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Setiap hari antara 70 ke 100 permohonan kita tolak. Ada yang beri alasan kebajikan namun selepas diperiksa, ia adalah sebaliknya. Tambahan lagi jika aktiviti sosial, memang kita tidak benarkan untuk rentas negeri,” katanya. – K! ONLINE