fbpx

Perlu kajian menyeluruh sebelum tetapkan harga siling barang keperluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan digesa agar melakukan kajian terperinci terlebih dahulu serta mengambil kira kepentingan semua pihak sama ada peniaga atau pelanggan sebelum memutuskan untuk menetapkan harga siling bagi sesuatu barangan terkawal.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya tiada masalah dengan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) oleh kerajaan malah menyambut baik inisiatif tersebut yang dilihat memberikan manfaat kepada pengguna.

“Bagaimanapun, kaedah pelaksanaan dan penetapan harga siling atau harga maksimum itu haruslah dikaji terlebih dahulu agar ia tidak menganiayai para peniaga seperti keluhan yang sering kami terima iaitu terpaksa menjual produk seperti ayam pada harga kurang sedikit sahaja daripada harga modal

“Isu ini (harga siling ayam) sebenarnya sudah terlalu lama berlarutan tanpa sebarang penyelesaian dan pihak kerajaan sepatutnya melihat masalah ini daripada pelbagai aspek agar ia dapat ditangani dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi hari ini.

Menurut Rosli, kerajaan sepatutnya mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak iaitu penternak atau pemborong dan peniaga dalam usaha menyelesaikan masalah harga siling terlalu rendah daripada harga yang boleh dijual oleh peniaga agar tidak menekan mana-mana pihak.

“Sebagai contoh, harga ayam ditetapkan kepada peniaga namun ia sepatutnya ditetapkan sewaktu ayam dikeluarkan oleh penternak kerana jika harga yang sampai kepada peniaga RM 8 sekilogram contohnya, berapa harga yang boleh dijual oleh peniaga jika harga syiling ditetapkan kerajaan adalah RM 8.50 sekilogram.

“Penternak memberi alasan harga makanan ayam mahal jadi harga ditetapkan adalah bertepatan maka saya ingin menyarankan agar kerajaan melihat kepada seluruh aspek dan cuba menyelesaikan masalah makanan ayam yang dikatakan mahal kerana jika harga makanan tersebut dikawal oleh kerajaan jadi tiada sebab untuk penternak meletakkan harga yang tinggi bagi seekor ayam,” ujar beliau.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid semalam berkata, kerajaan berkemungkinan akan terus mengawal harga siling barangan keperluan utama selepas berakhirnya SHMMP Hari Raya Aidilfitri pada 20 Mei depan.

Pengumuman itu bagaimanapun mendapat bantahan sekeras-kerasnya oleh peniaga yang terkesan apabila harga syiling ditetapkan tanpa mengambil kira harga produk yang dikeluarkan oleh pihak pemborong atau penternak.

Tambah Rosli, pelaksanaan SHMMP adalah satu usaha yang baik dalam usaha mengawal kenaikan harga barangan keperluan seperti ayam, daging, lembu dan ikan kembung daripada terus melonjak tinggi namun pelaksanaannya perlulah dilakukan dengan teliti dan tidak berpandukan maklumat daripada satu pihak sahaja. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI