BATU PAHAT – Seorang lelaki yang dipercayai mengalami kemurungan ditemui mati dengan beberapa kesan kelar di leher di sebuah kediaman keluarganya dekat Taman Nira di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, lelaki berusia 32 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah oleh bapanya di sebuah bilik.
“Siasatan awal polis di tempat kejadian turut menjumpai sebilah pisau berhampiran mangsa. Pemeriksaan lanjut pula tidak menemui sebarang kesan pecah masuk ke dalam rumah selain harta benda juga tidak dilaporkan hilang.
“Mangsa yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur baru sahaja pulang ke rumah keluarganya di sini kelmarin setelah dihantar oleh dua rakannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ismail, kali terakhir ibu dan bapa mangsa melihat anaknya adalah pada tengah hari semalam sebelum keluar bekerja.
“Tiada ahli keluarga lain dilaporkan berada di rumah semasa kejadian.
“Keterangan awal keluarga mengesahkan mangsa pernah mengadu mengalami tekanan perasaan dan ada mengambil ubat penenang,” katanya.
Ismail berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat dan polis setakat ini mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. – K! ONLINE