SIBU – Tiga orang lelaki telah direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini untuk membantu siasatan kes seorang anggota polis yang maut ditembak di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9A di sini semalam.
Pesuruhjaya Polis Negeri Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kejadian tersebut berkata kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 21 ke 27 tahun itu berasal dari Semenanjung Malaysia.
“Perintah reman dikeluarkan mulai hari ini bagi membantu pihak polis untuk menyiasat kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa, Norhalim Tumiran, 25, yang berasal dari Pahang dilaporkan maut setelah disyaki terkena tembakan di sebelah kanan kepala dalam kejadian sekitar pukul 7.20 malam itu.
Ketika kejadian, salah seorang suspek difahamkan sedang bergurau dengan mengacukan pistol sebelum tertekan picu dan melepaskan tembakan ke arah si mati yang sedang bermain permainan video di ruang tamu rumah.
Aidi turut memberitahu bahawa pihak patologi dari Kuching akan dihantar ke Sibu untuk melakukan bedah siasat esok sebelum jenazah dibenarkan untuk dihantar pulang ke Pahang.
Norhalim adalah pegawai polis yang baru sahaja dipindahkan ke Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di sini sebulan setengah yang lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan bayi yang berusia satu tahun. – K! ONLINE