GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menerima laporan 12 kes berhubung peniaga daging lembu tempatan yang tidak mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) sejak dilaksanakan dua minggu lalu.
Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab Ghapar berkata, kes berkenaan dilaporkan antara yang tertinggi daripada 15 kes yang direkodkan sejak 21 April lalu sehingga semalam.
Menurutnya, sebanyak 1,448 pemeriksaan di peringkat runcit dan borong telah dilaksanakan di lima daerah negeri ini melibatkan pelbagai kesalahan.
“Penjualan harga daging tidak mengikut kawalan harga yang ditetapkan adalah paling tinggi berbanding peniaga gagal mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.
“Hasil pemeriksaan tersebut, pihak kita telah mengeluarkan kompaun kepada peniaga terlibat sebanyak RM3,200,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan SHMMP di Pasar Awam Bayan Baru di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya juga telah mengeluarkan 14 notis kepada peniaga ayam menerusi Ops Rantai Ayam di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011.
Jelasnya, tindakan tersebut dikenakan bagi tujuan mendapatkan maklumat berhubung kenaikan harga barangan basah tersebut.
Pada masa sama, KPDNHEP negeri turut menjalankan pemeriksaan di bawah Ops Pantau bagi memantau pemantuhan peniaga di pasar Ramadan serta Bazar Aidilfitri di Pulau Pinang. – K! ONLINE