PUTRAJAYA – Kadar pengangguran bagi Mac 2021 direkodkan lebih rendah iaitu sekitar 4.7 peratus dengan jumlah keseluruhan 753,200 penganggur.
Data itu diperolehi berdasarkan Statistik Tenaga Buruh bagi Mac 2021 dan suku pertama tahun 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan tenaga buruh pada Mac 2021 naik 0.2 peratus iaitu 34,300 orang) kepada keseluruhan 16.08 juta orang tenaga kerja berbanding 16.05 juta pada bulan Februari lalu.
Beliau berkata, bagi Mac juga, bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.4 peratus iaitu 58.7 ribu orang kepada 15.33 juta orang berbanding 15.27 juta orang pada Februari lalu.
“Mac 2021 menandakan setahun setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dilaksanakan bermula 18 Mac 2020 yang membawa kepada norma baharu sejak penularan wabak Covid-19 di Malaysia.
“Berbeza dengan PKP 1.0, Mac tahun ini menyaksikan kebanyakan negeri berada dalam fasa PKP Pemulihan manakala, negeri lain berada dalam fasa PKP Bersyarat dengan kebanyakan aktiviti ekonomi terus dibenarkan beroperasi,” katanya.
Katanya, pihaknya merumuskan, pemulihan kedudukan tenaga buruh di Malaysia mungkin akan berterusan disokong pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan dan peluasan program vaksinasi Covid-19 kepada komuniti yang lebih ramai.
Mohd. Uzir berkata, bagaimanapun, momentum positif itu dipengaruhi oleh ketidaktentuan situasi kesihatan dan seterusnya prestasi ekonomi negara.
“Peningkatan jumlah kes harian Covid-19 di Malaysia ketika ini telah mendorong pelaksanaan semula PKP Diperketatkan di kawasan bersasar dan PKP di negeri-negeri tertentu seperti Kelantan, Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur pada bulan ini.
“Ini sekaligus memberi isyarat kedudukan tenaga buruh mungkin berdepan dengan cabaran pada bulan-bulan akan datang.
“Bagaimanapun, dengan peningkatan pasaran buruh yang menggalakkan pada suku pertama 2021, adalah diharapkan agar pasaran buruh akan meneruskan momentum pemulihannya walaupun pada kadar yang sederhana,” katanya. – K! ONLINE