PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan satu mesej tular kononnya jabatan itu mengeluarkan arahan untuk menyekat kepulangan warga Malaysia di luar negara untuk pulang ke tanah air sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
JIM menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, pihaknya menafikan kesahihan mesej tular berkaitan pas lawatan pulang itu.
Katanya, mesej palsu itu juga didapati menggunakan nama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
“Ia adalah tidak benar dan dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Orang ramai disarankan agar tidak menyebarkan maklumat sedemikian yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Segera laporkan kepada JIM jika terdapat sebarang maklumat yang meragukan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Katanya, maklumat terkini berkaitan JIM boleh didapati menerusi portal https://www.imi.gov.my dan Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia https://www.facebook.com/imigresen. -K! ONLINE