IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak membentuk satu jawatankuasa bagi menyiasat punca alat pemadam api meletup hingga mencederakan tiga lelaki dalam kejadian di Jalan Hussin Nordin, Taman Pearl di sini kelmarin.
Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, siasatan itu bagi mengetahui punca letupan itu berlaku sama ada disebabkan oleh kelalaian semasa mengendalikan alat pemadam api atau keadaan fizikal peralatan tersebut.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu juga akan diperiksa bagi melihat situasi sebenar kejadian.
“Kita sedang menunggu laporan daripada bahagian forensik untuk mengetahui punca kejadian. Bagi kes ini, kita menilai daripada semua aspek untuk melihat kemungkinan terdapat unsur lain yang menyebabkan letupan.
“Sampel alat pemadam api juga akan dihantar ke makmal atau syarikat yang berpengalaman dan berkemahiran mengendalikan peralatan tersebut untuk mengetahui apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas program Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran (pusat membeli-belah) di Aeon Mall Kinta City di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, seorang lelaki berusia 47 tahun parah dengan kaki kanannya hampir putus manakala dua rakannya cedera ringan akibat letupan tersebut.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mereka sedang menyelenggara alat pemadam api jenis serbuk kering ABC di premis tersebut.
Dalam perkembangan berlainan beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat punca kebakaran kedai dobi layan diri di Taiping yang turut mengakibatkan seorang mangsa cedera.
“Siasatan telah dilakukan namun kita belum dapat membuat kesimpulan atau rumusan berkaitan insiden berkenaan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati premis itu mempunyai sijil perakuan bomba dan beroperasi dengan patuh kepada sistem keselamatan ditetapkan,” katanya. – K! ONLINE