PUTRAJAYA – Kerajaan akan melaksanakan misi repatriasi khusus bagi rakyat Malaysia termasuk Home Based Staff (HBS) serta tanggungan mereka daripada pelbagai agensi yang berada di wilayah utara dan barat India susulan gelombang kedua penularan pandemik Covid-19 yang membimbangkan di republik itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, misi repatriasi itu akan dilaksanakan menggunakan pesawat sewaan khas dari Malaysia dalam masa terdekat sebaik urusan berkaitan termasuk kelulusan penerbangan daripada Kerajaan India diperoleh.
“Pesawat tersebut akan berlepas ke New Delhi dan Mumbai, India.
“Misi repatriasi kali ini tidak melibatkan wilayah selatan dan timur India memandangkan situasi di wilayah-wilayah berkenaan masih terkawal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, rakyat Malaysia yang dibawa pulang menerusi misi ini diwajibkan menjalani ujian Covid-19 sebelum berlepas dan sebaik tiba.
Katanya, selain itu, mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Penting untuk saya tegaskan bahawa keputusan untuk melaksanakan misi repatriasi ini dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Kesihatan.
“Malah, keputusan ini turut mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisis yang dibuat oleh pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di India,” katanya.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, misi repatriasi itu merupakan usaha dan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa dilindungi.
Menurutnya, misi yang sama pernah dilaksanakan oleh kerajaan semasa penularan pandemik Covid-19 pada tahun lalu melibatkan misi repatriasi dari Wuhan (China), Iran dan Itali.
Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia di wilayah-wilayah utara dan barat India yang berhasrat untuk menyertai misi itu dinasihatkan untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai melalui e-mel , selewat-lewatnya esok, pukul 5 petang waktu India.
Butiran seperti berikut:
Suruhanjaya Tinggi Malaysia, New Delhi
50-M, Satya Marg, Chanakyapuri
New Delhi, India
Telefon: +91-11-2415 9311 / +91-85-9555-0594
E-mel: [email protected]
Konsulat Jeneral Malaysia, Mumbai
5th Floor, Notan Classic Building,
24th Road, Off Turner Road
Bandra (W), Mumbai
Maharastra, India
Telefon: +91 22 2645 5751/5752
E-mel: [email protected]