fbpx

Wanita lumpuh gigih buat kuih raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Afiza memasukkan biskut raya ke dalam ketuhar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titian Akar, Sawah Raja, Rembau semalam.

REMBAU – Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) tidak menjadikan kekurangan dirinya sebagai penghalang untuknya berdikari mencari pendapatan sendiri apabila aktif membuat biskut raya sejak lima tahun lalu.

Nor Afiza Ibrahim, 48, yang menghidap penyakit polio sejak di bangku sekolah berkata, dia mula aktif menjual biskut raya selepas mendapat bantuan ketuhar tajaan Jabatan Tenaga Kerja khas buat OKU.

Katanya, dia bersyukur kerana orang di sekelilingnya memberi sokongan biarpun tempahan yang diterima hanyalah daripada rakan-rakan terdekat dan keluarga yang berniat untuk membantunya.

“Tahun lepas tempahan agak perlahan kerana Covid-19 tetapi tahun sebelumnya, saya me­nerima tempahan lebih 100 bekas brownies daripada sebuah pertubuhan perbankan.

“Tahun ini pun saya berjaya menyiapkan lebih 100 bekas rempeyek bersaiz besar dan sederhana untuk dijual kepada pelanggan tetap,” katanya ketika ditemui di Kampung Titian Akar, Sawah Raja di sini semalam.

Tambahnya, ketika Syawal menjelang tiba, dia mula me­nyiapkan tempahan bahulu biasa pada harga RM15 mengandungi 50 biji kuih.

Menurut Nor Afiza, dia menjual 24 biji bahulu cadbury pada harga RM15 sebekas.

“Asas membuat kuih ini saya belajar daripada emak, Noriah Maasim, 81, namun saya juga ada mengambil kelas pengajian jarak jauh bagi membuat pelbagai jenis kuih,” katanya.

Ujar Nor Afiza, dia merancang untuk mengambil tempahan bahulu jelita dan kemboja bagi sebarang majlis serta keraian.

“Saya sedang mengumpul dana untuk membeli acuan kuih memandangkan ia agak mahal di pasaran,” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal.

Orang ramai yang berminat untuk membeli jualan Nor Afiza boleh menghubunginya talian 013-636 7451. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI