NEW YORK – Gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer mengumumkan pendapatan AS$3.5 bilion (RM14.4 bilion) hasil jualan vaksin Covid-19 keluarannya sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, lapor akhbar New York Times kelmarin.
Pendapatan suku pertama tersebut menyamai hampir satu perempat perolehan tahunan Pfizer sekali gus menjadikan vaksin Covid-19 sumber pendapatan terbesarnya.
Pfizer tidak mendedahkan keuntungan yang diperoleh daripada jualan vaksinnya tetapi mengulangi ramalan sebelum ini bahawa margin keuntungan adalah sekitar 20 peratus atau bersamaan AS$900 juta (RM3.7 bilion) untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Syarikat itu sebelum ini menerima pujian meluas kerana membangunkan teknologi yang belum terbukti keberkesanannya tetapi berjaya menyelamatkan begitu banyak nyawa manusia.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/05/tanda.jpg)
Bagaimanapun, agihan vaksin Pfizer ketika ini dikatakan tidak saksama dengan tumpuan diberikan kepada negara-negara kaya sekali gus bertentangan dengan janji ketua pegawai eksekutifnya bahawa negara miskin mempunyai akses vaksin Covid-19 yang saksama seperti negara kaya.
Realitinya, setakat pertengahan April lalu, negara-negara kaya memperoleh lebih 87 peratus daripada 700 juta dos vaksin Covid-19 yang dihantar ke seluruh dunia sedangkan penerimaan negara-negara miskin cuma 0.2 peratus, demikian menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut WHO, kira-kira seorang dalam setiap empat orang di negara kaya menerima suntikan vaksin Covid-19 berbanding seorang dalam setiap 500 penduduk negara miskin.
Namun, Pfizer menyatakan bahawa ia komited menjadikan vaksin keluarannya boleh diakses oleh negara-negara dunia.
“Pfizer telah menghantar 430 juta dos vaksin Covid-19 kepada 91 negara atau wilayah hari ini (kelmarin),” kata seorang jurucakapnya, Sharon Castillo.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan berapa banyak dos yang dijual kepada negara-negara miskin.
WHO sebelum ini menyatakan bahawa Pfizer hanya memberikan bantuan minimum kepada negara-negara paling miskin di dunia.
Pfizer berjanji untuk menyumbang sehingga 40 juta vaksin kepada program agihan vaksin WHO, Covax yang bermatlamat membekalkan vaksin kepada negara-negara miskin.\\
Jumlah itu kurang dua peratus daripada 2.5 bilion dos vaksin yang Pfizer dan rakan kongsinya, BioNTech sasarkan pada tahun ini.
Sejak penghantaran bermula pada Februari lalu, sekitar 960,000 dos vaksin Pfizer telah dihantar ke negara berpendapatan pertengahan dan rendah yang menerima vaksin menerusi program Covax. – Agensi