KLANG – Kegiatan tiga sekawan memproses dan menjual ketum sejak tahun lalu berakhir apabila dicekup di hadapan sebuah pondok di Kampung Perepat, Batu 10 Jalan Kapar di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 12.40 pagi itu, kesemua suspek lelaki berusia 22 hingga 28 tahun ditangkap bersama 30 botol air ketum.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, penangkapan itu hasil maklumat pihaknya terhadap aktiviti pemprosesan dan penjualan ketum di kawasan tersebut.
Katanya, ketika serbuan telah mendapati tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di pondok hadapan sebuah rumah di lokasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai 30 botol dengan kapasiti 1.5 liter setiap satu disyaki ketum yang diletakkan di dalam tong berwarna hijau.
“Kita turut merampas peralatan memproses air ketum tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nurulhuda menambah, siasatan mendapati mereka menjual ketum itu pada harga RM20 sebotol di kawasan kampung itu sahaja.
Jelas beliau, semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini direman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. -K!ONLINE