SEBERANG PERAI – Polis menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) selepas melakukan serbuan di kawasan reban ayam di Taman Ampang Jajar, Mak Mandin, Butterworth di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan merampas dadah bernilai RM21,320.
“Ketika serbuan, polis menemui bersama suspek dadah disyaki jenis syabu seberat 53 gram (g) bernilai RM5,300 dan empat biji pil erimin 5 (RM60).
“Seterusnya, hasil pandu arah oleh suspek, polis merampas 456 g dadah jenis heroin bernilai RM15,960 yang disorok di dalam reban ayam,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek turut positif dadah dan pihaknya menyita tiga buah motosikal bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE