fbpx

Sanusi selar sikap ala samseng pemain JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETEGANGAN berlaku sebagai wisel separuh masa pertama dibunyikan, namun tidak ada insiden serius yang berlaku.

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) bersikap ala samseng ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman malam kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, pasukan lawan langsung tidak menghormati tuan rumah biar pun bertandang ke ‘kampung’ KDA FC.

“Saya dapat satu kesimpulan iaitu JDT ini, dia main ala samseng sikit, macam kasta kaya­ngan. Tengoklah se­malam ada satu insiden yang hampir berlaku pergaduhan yang mana mereka datang kepada jurulatih serta pemain kita, dan buat-buat ‘cengei’ (bengis).

“Dia datang stadium kita, kampung kita tetapi dia tak hormat langsung kita. Kena ingat, orang Kedah ini buat tenggala (bajak) bendang dan memukul padi di bendang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini semalam.

Sebaik tamat separuh masa pertama semalam, berlaku kekecohan berikutan berlaku perang mulut antara jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak dan pe­nyerang JDT, Gonzalo Cabrera sebelum itu.

Kekecohan di padang berlanjutan hingga ke dalam terowong menuju ke bilik persalinan, namun segalanya reda sebelum perlawanan bersambung dengan Cabrera serta Aidil dilihat berpelukan apabila kembali semula ke padang.

Kejadian itu turut disaksikan Muhammad Sanusi yang hadir mengiringi Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, berangkat ke stadium menyaksikan perlawanan itu.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, karakter ditunjukkan JDT itu dirasakan tidak bagus untuk diterapkan dalam sukan.

“Dia nampak kerek, nampak ‘gedebe’. Mungkin kerana pasukan dia kaya atau gaji mahal sedangkan kita tak ada duit.

“Tak bolehlah buat macam pasukan lain itu belasahan. Walaupun mereka pandai main, kita pun tidaklah bodoh sangat malah hampir menjaringkan dua gol semalam yang cuma terhalang oleh tiang dan palang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI