KOTA BHARU – Kelantan membuka sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid- 19 (PKRC) di Gelanggang Seni sini untuk menempatkan warga emas yang disahkan positif Covid-19 mulai hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani Husin berkata, PKRC kelapan di Kelantan itu dapat memuatkan seramai 150 pesakit berusia 60 tahun ke atas dalam satu-satu masa.
Katanya, sehubungan dengan itu, peralatan yang akan digunakan di PKRC itu pastinya lebih baik kerana ia menempatkan pesakit yang lebih berisiko.
“Kita juga akan menempatkan pakar di PKRC berkenaan untuk memantau pesakit warga emas yang dijangkiti Covid-19.
“Kebiasaannya, pesakit warga emas yang dijangkiti Covid-19 pada peringkat satu tidak mempunyai simptom, namun keadaan mereka boleh berubah pada bila-bila masa (peringkat Covid-19),” katanya.
Mengulas lanjut, menurut Izani, setakat ini, penggunaan fasiliti hospital untuk merawat pesakit Covid-19 sama ada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan PKRC berada pada tahap kritikal.-K! ONLINE