fbpx

Perantau, golongan kenamaan, selebriti jangan rentas negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
Sultan Muhammad V

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan agar semua rakyat Kelantan, perantau, golongan kenamaan atau selebriti supaya tidak merentas negeri sekiranya tiada kecemasan.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd. Shafriman Nik Hassan berkata, baginda menitahkan larangan itu berikutan penularan varian Afrika Selatan B:1:351 yang turut dikesan di Kelantan berpunca daripada aktiviti rentas negeri.

Katanya, baginda menzahirkan kebimbangan di atas peningkatan mendadak kes positif Covid-19 sejak pertengahan bulan April yang lalu daripada dua angka hingga mencecah lebih 400 kes hampir setiap hari.

“Baginda berasa amat dukacita melihat ramai rakyat Kelantan yang masih mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Unit Rawatan Rapi (ICU) di Kelantan hampir memenuhi kapasiti. Ia turut menjejaskan pesakit ICU yang sedia ada yang terpaksa ditempatkan di wad biasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, baginda turut bertitah bahawa jumlah pesakit yang meningkat telah memaksa Kerajaan Negeri membuka hospital lapangan di Padang Perdana di sini dan itu menunjukkan situasi yang kritikal di Kelantan.

Katanya, baginda turut menyarankan peniaga supaya mengutamakan pengurusan perniagaan secara dalam talian.

“Baginda benar-benar berharap seluruh rakyat bekerjasama dalam melindungi ahli keluarga dan orang sekeliling. Selain itu, baginda juga bersimpati dengan kakitangan Kementerían Kesihatan yang telah banyak berkorban sejak awal pandemik demi mengekang penularan Covid-19 lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan.

“Akhir sekali, sempena minggu terakhir bulan Ramadhan, baginda mengajak semua rakyat untuk sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan Covid-19 akan dapat dibendung secepat mungkin dan tindakan kolektif yang diambil oleh rakyat akan dapat segera melandaikan lengkuk jangkitan yang membimbangkan ini,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI