TATARSTAN, RUSIA – Sekumpulan pelari wanita menimbulkan kemarahan penduduk setempat kerana melakukan senaman mencangkung dan menari di hadapan sebuah masjid di negeri Tatarstan, Rusia, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Mereka melakukan aktiviti tersebut sebelum menyertai satu acara maraton di ibu negeri Tatarstan, Kazan pada Isnin lepas.
Dalam satu video, mereka dilihat memakai seluar senaman ketat dan melakukan senaman ringan sebelum menari secara spontan di hadapan Masjid Kul-Sharif di Tatarstan. Majoriti penduduk Tatarstan beragama Islam.
Menurut laman berita PDM News, Timbalan Mufti Tatarstan, Rafik Mukhametshin berkata, tindakan provokasi itu amat menyinggung perasaan.
“Ini tidak dapat diterima. Terdapat banyak lagi latar belakang (lokasi) yang ada. Saya berpendapat ini adalah tindakan provokasi daripada mereka.
“Kami tidak menyokong tindakan sebegini,” ujarnya.
Sementara itu, wanita yang merakam aksi senaman tersebut, Ekaterina berkata, video itu sekadar menunjukkan peserta maraton Kazan melakukan senaman ringan sebelum berlari dan lokasi latar belakang itu dipilih secara rawak.
“Kami tidak mempunyai sebarang niat jahat dan tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa,” katanya.
Menurut PDM News, insiden tersebut telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk setempat kerana video itu diterbitkan dalam bulan suci Ramadan.
Setakat ini, tiada laporan yang mengatakan sama ada tindakan undang-undang akan diambil terhadap kumpulan wanita tersebut. – Agensi