PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyumbangkan sembilan tan atau 740 karton ayam sejuk beku dan 520 kilogram daging kerbau sejuk beku kepada Zoo Negara sebagai bekalan makanan haiwan di situ.
Maqis dalam satu kenyataan berkata, bekalan makanan itu adalah hasil rampasan yang telah dilucuthakkan membabitkan kes dari bulan Januari sehingga Mac lalu.
“Secara keseluruhannya, Maqis menyumbangkan sejumlah RM78,000 nilai rampasan ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM72,000 dan daging kerbau sejuk beku (RM6,000) yang datangnya dari negara India.
“Kesemua ayam sejuk beku ini telah ditahan semasa cuba dibawa masuk dari negara jiran ke Malaysia melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam Kedah, manakala daging kerbau sejuk beku pula adalah dari negara India melalui pintu masuk NBCT, Pulau Pinang,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, serahan sumbangan bekalan makanan kepada Zoo Negara itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian (I), Datuk Seri Ahmad Hamzah di Wisma Tani hari ini.
Maqis berkata, pihaknya komited membantu Zoo Negara dalam memastikan bekalan makanan haiwan mencukupi selain terus memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal dan keselamatan makanan.
“Begitu juga dari aspek kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu pihak Zoo Negara dari segi bekalan makanan haiwan supaya dapat menampung bekalan makanan di Zoo Negara,” katanya. – K! ONLINE