fbpx

Lirik ‘raparaparapa’ popularkan Issam Alnajjar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISSAM ALNAJJAR

USIANYA baru mencecah 18 tahun. Dengan angka yang masih begitu muda, dia mula mengecap populariti disebabkan satu karya muzik bernama Hadal Ahbek. Dia, Issam Alnajjar yang merupakan seorang penyanyi muda kelahiran negara Arab iaitu Jordan.

Video persembahan lagu tersebut dalam YouTube sudah mencapai hampir 70 juta tontonan. Bukan itu sahaja, populariti Hadal Abhek membawanya terus terbang tinggi apabila dapat berkolaborasi dengan idolanya, Ali Gatie menerusi versi baharu karya terbabit.

Menurut Issam, dia tidak menyangka lagu berkenaan terus menjadi siulan pendengar. Baginya, semua yang sedang berlaku dalam hidupnya sekarang tidak akan terpatri segemilang itu andai bukan disokong dengan manfaat penggunaan aplikasi media sosial popular, TikTok.

BERGANTUNG kepada tuah sebuah lagu berjudul Hadal Ahbek, Issam kini merupakan antara penyanyi tanah Arab yang semakin mencipta nama di peringkat global.

“Hadal Ahbek mula menjadi popular selepas orang kedua yang mempunyai bilangan pengikut paling ramai dalam TikTok, @addisonre menggunakan latar muzik lagu ini untuk videonya.

“Sejak itu, lagu saya mula dikenali. Dari jumlah tontonan hanya puluhan ribu menjadi jutaan tontonan. Saya memang betul-betul terkejut dan pada masa sama, amat bersyukur.

“Tentunya, saya melihat TikTok sebagai sebuah platform yang paling berkesan untuk memasarkan produk muzik kepada para pendengar di seluruh dunia. Secara peribadi, kalau anda seorang artis tapi tiada akaun TikTok, itu satu kerugian kerana platform berkenaan satu kemestian zaman sekarang,” katanya kepada HibGlam dalam satu temu bual panggilan video baru-baru ini.

Justin Bieber, kolaborasi

Ada yang membandingkan dirinya dengan penyanyi pop popular, Justin Bieber. Bagi Issam, masih jauh perjalanan seninya kalau dibezakan dengan penyanyi Hollywood itu.

Katanya, Bieber merupakan antara penyanyi kegemarannya, namun masih ramai artis lain yang memberi inspirasi kepada dirinya untuk berkarya.

Issam gembira kerana dapat berkolaborasi dengan salah seorang idolanya, Ali Gatie menerusi versi baharu Hadal Ahbek yang turut menampilkan Loud Luxury.

“Saya bukan siapa-siapa kalau ingin dibandingkan dengan Bieber. Tapi kalau ada yang membandingkan kami, saya boleh sifatkan itu sebagai ‘gila’.

“Kerjaya muzik saya masih hijau tetapi tidak dapat dinafikan bahawa dia memang merupakan artis kegemaran saya,” katanya.

Menjawab pertanyaan tentang siapa penyanyi lain yang memberi inspirasi kepada dirinya untuk berkarya, jawab Issam: “Tiada (penyanyi kegemaran) yang spesifik tetapi saya suka muzik daripada The Weeknd, Shawn Mendes, Lewis Capaldi, Queen dan mendiang Michael Jackson.

PERJALANAN masih baru, Issam yang dibandingkan dengan penyanyi terkenal Justin Bieber menganggap perkara tersebut sesuatu yang ‘gila’.

“Dan oh ya, saya nak dan minat Billie Eilish. Kalau ada peluang untuk berkolaborasi dengannya suatu hari nanti, itu akan jadi satu mimpi yang bertukar jadi kenyataan.”

Pernah dibuli

Membawa perbualan tentang kisah hidupnya sebelum Hadal Abhek menjadi hit global, penyanyi itu berkata, dia hanya seorang budak biasa yang suka memuat naik lagu saduran dalam ruang internet.

“Saya buat banyak video saduran. Sebenarnya, impian saya memang nak jadi penyanyi dan pemain bola sepak. Syukur dua-dua impian tersebut kini jadi kenyataan (ketawa).

“Saya seorang yang ceria, suka menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Seperkara lagi, saya hidup bersendirian selama empat tahun di Jordan sementelah ibu dan bapa tinggal berasingan di Amerika Syarikat,” dedahnya.

PERNAH menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah, namun segala kisah hitam tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan hidup.

Lady Gaga, Britney Spears bahkan Bieber tatkala waktu di bangku sekolah pernah menjadi mangsa buli. Tidak menafikan perihal tersebut berlaku dalam hidupnya, Issam menanganinya dengan pendekatan yang berbeza.

“Zaman kanak-kanak saya menyeronokkan. Semestinya pernah dibuli, namun saya tidak membiarkan perkara tersebut berlaku berterusan.

“Ketika kecil, saya lebih suka buat hal sendiri dan bergembira bersama kawan-kawan. Saya tak biarkan orang ‘pijak’ kepala saya dengan mudah,” katanya.

A-pop ke global

Memasang impian tinggi, Issam mempunyai perancangan untuk mengangkat muzik Arabic pop (A-pop) ke peringkat yang lebih tinggi.

Angannya, dia mahu melihat genre tersebut disebar ke serata dunia seperti mana kejayaan muzik K-pop (Korea pop) yang kini mendapat perhatian luar biasa peminat muzik global.

Apabila Covid-19 berakhir yang masih tidak diketahui bila, Issam berkata, antara negara pertama yang ingin dilawatinya adalah Malaysia.

“Saya nak mempromosikan genre muzik A-pop agar dikenali di seluruh dunia. Seperti apa yang sedang dikecapi muzik K-pop.

“Sekarang saya masih lagi dalam proses pembikinan album sulung yang mungkin akan dipasarkan dalam masa terdekat,” kongsinya.

Nama Issam menjadi fenomena selepas single pertamanya, Hadal Ahbek yang bermaksud ‘Aku Akan Terus Mencintaimu’ berjaya mencatat jumlah tontonan lebih tujuh juta dalam tempoh sebulan ditayangkan menerusi YouTube.

Kejayaan tersebut sangat membanggakan apabila jumlah tontonan lagunya mencatatkan kenaikan paling tinggi berbanding single yang pernah dikeluarkan dua penyanyi antarabangsa popular seperti Bieber dan The Weeknd.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI